Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir N29

oleh Cikgu Khairul

Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir – Anda sedang mencari soalan lazim yang mungkin ditanya semasa temuduga jawatan penolong pegawai tadbir? Anda telah datang ke tempat yang betul!

Izinkan saya memperkenalkan diri. Nama saya Cikgu Khairul dan saya telah membantu calon-calon berjaya dalam temuduga pekerjaan impian mereka sejak tahun 2009.

Pertama sekali, syabas kerana telah melepasi ujian psikometrik dengan jayanya dan dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga ini. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

4 Topik Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir

Apakah soalan lazim yang sering ditanya oleh panel temuduga kepada calon yang memohon jawatan penolong pegawai tadbir?

Pada dasarnya, panel temuduga akan menumpukan kepada empat bidang penting semasa menilai calon dalam sesi temu duga bagi jawatan penolong pegawai tadbir, antaranya:

  • Soalan tentang diri anda.
  • Soalan berkaitan jawatan.
  • Soalan berkaitan kementerian dan jabatan.
  • Soalan kemahiran berfikir.
soalan temuduga bomba

Soalan Tentang Diri Anda

Dalam kebanyakan sesi temuduga, soalan yang paling kerap diajukan oleh panel temuduga adalah berkaitan dengan pengenalan diri calon.

Sebenarnya, soalan ini bukan bertujuan untuk panel mengenali anda secara mendalam, tetapi lebih kepada menilai gaya komunikasi anda.

Melalui cara anda menyampaikan jawapan, panel temuduga sudah dapat mengukur tahap keyakinan diri anda ketika berhadapan dengan orang lain.

Apabila diminta oleh panel temuduga, “Sila perkenalkan diri anda”, anda boleh menggunakan skrip jawapan berikut sebagai panduan.

Salam sejahtera. Saya Izzat bin Ismail, berasal dari bandar Kuantan di negeri Pahang. Pendidikan awal saya bermula di SMK Seri Pekan sebelum meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain cemerlang dalam akademik, saya turut aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum semasa di universiti. Saya pernah dilantik memegang jawatan bendahari dalam persatuan pelajar. Saya bertanggungjawab dalam mengendalikan belanjawan dan memastikan setiap perbelanjaan direkodkan dengan tepat. Melalui pengalaman ini, saya belajar betapa pentingnya akauntabiliti dan pengurusan kewangan yang rapi.

Saya amat berminat dalam bidang pengurusan belanjawan dan kewangan kerana ia merupakan aspek penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Saya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam bidang ini dan bersedia untuk mempelajari serta menyesuaikan diri dengan amalan-amalan baharu.

Dengan disiplin dan sifat amanah yang saya miliki, ditambah dengan pengetahuan serta pengalaman dalam pengurusan belanjawan dan kewangan, saya yakin mampu menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang dalam jawatan ini dan memberi sumbangan yang baik kepada jabatan ini.

Tip menjawab: Dalam jawapan anda, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada tugas yang berkaitan dengan jawatan penolong pegawai tadbir. Memandangkan skop kerja jawatan ini sering melibatkan pengurusan belanjawan dan kewangan, anda boleh menonjolkan minat dan kecenderungan anda terhadap aspek pengurusan kewangan.

Setelah panel temuduga mendengar jawapan pengenalan diri anda, mereka biasanya akan meneruskan dengan soalan-soalan berkaitan perkembangan terkini mengenai diri anda.

“Apakah kerja sementara yang awak lakukan sebelum ini?”, tanya panel temuduga.

Setelah menamatkan pengajian di universiti, saya berpeluang bekerja sebagai juruwang di restoran milik pakcik saya. Sepanjang tempoh bekerja di sana, bukan sahaja saya dapat menggilap kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan pelanggan, malah saya juga memperoleh pendedahan awal berkenaan aspek pengurusan kewangan.

Sebagai seorang juruwang, antara tanggungjawab saya termasuklah menguruskan transaksi tunai, menyediakan laporan jualan harian, dan memastikan baki tunai adalah betul.

Selain itu, saya turut terlibat dalam penyediaan belanjawan bulanan untuk restoran tersebut, memerlukan saya menganalisis trend perbelanjaan dan mencadangkan kaedah untuk mengoptimumkan sumber kewangan.

Pengalaman ini telah memberi saya asas pemahaman tentang pengurusan belanjawan dan kewangan dalam konteks perniagaan berskala kecil.

Tip menjawab: Adalah penting untuk anda mengaitkan pengalaman kerja terdahulu sebagai satu kelebihan yang relevan dengan peranan penolong pegawai tadbir. 

Ceritakan kepada panel temuduga bagaimana pengalaman kerja yang anda miliki sejajar dengan tanggungjawab jawatan yang anda pohon.

Selain itu, antara soalan-soalan berkaitan dengan diri sendiri kerap ditanya ialah:

  • Sebab apa awak mahukan jawatan ini? Ada yang tidak kena dengan tempat kerja awak sekarang?
  •  Kenapa awak nak bekerja di sektor kerajaan?

Soalan Berkaitan Jawatan.

Berdasarkan pengalaman temuduga calon sebelum ini, panel cuba bertanyakan soalan mengapa dia berminat dengan jawatan penolong pegawai tadbir ini.

Panel ingin mengetahui apakah faktor-faktor yang mendorong calon untuk memilih kerjaya ini dan bagaimana ia selaras dengan aspirasi serta matlamat profesional calon tersebut.

“Boleh saya tahu kenapa awak berminat dengan jawatan penolong pegawai tadbir ni?”, tanya panel temuduga.

Saya berminat dengan jawatan penolong pegawai tadbir ini kerana ia melibatkan aspek pengurusan kewangan dan belanjawan, iaitu bidang yang saya minati dan bercita-cita untuk menceburi secara profesional.

Sepanjang pengajian saya dalam bidang perakaunan, saya telah mempelajari prinsip-prinsip asas serta teknik-teknik pengurusan kewangan. Saya juga telah terlibat dalam beberapa projek yang memerlukan analisis kewangan dan penyediaan belanjawan, yang telah mengukuhkan kefahaman saya tentang bagaimana pengurusan kewangan yang efisien mampu menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi.

Di samping itu, pengalaman bekerja sebagai juruwang di restoran juga telah memberi saya pendedahan secara langsung dalam mengendalikan transaksi kewangan harian. Ini telah meningkatkan lagi minat dan kecenderungan saya terhadap bidang pengurusan kewangan.

Saya juga tertarik dengan peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang saya miliki dalam suasana kerja yang profesional. Saya yakin jawatan penolong pegawai tadbir ini akan membolehkan saya berbuat demikian di samping memberi sumbangan kepada pengurusan jabatan ini.

Tapi pertanyaan ini tidak terhenti di situ sahaja. Sebab setiap orang boleh claim apa-apa sahaja yang mereka suka. Katanya minat, tapi belum tentu minat tu betul-betul wujud.

Apabila panel temuduga berpuas hati dengan jawapan anda ini, panel akan bertanya pula tentang skop tugas jawatan.

Pastikan anda tahu skop tugas kerana itu akan menjadi bukti sejauh mana minat anda terhadap jawatan penolong pegawai tadbir itu.

“Sebagai seorang penolong pegawai tadbir, apa tugas awak?”, tanya panel temuduga.

Sebagai seorang penolong pegawai tadbir, tugas secara keseluruhan ialah bertanggungjawab untuk menjalankan pelbagai tugas yang berkaitan dengan pengurusan pentadbiran pejabat.

Secara perincian pula, saya bertanggungjawab dalam penyediaan belanjawan, pemantauan perbelanjaan, dan penyediaan laporan kewangan. Ini memastikan sumber kewangan jabatan digunakan secara optimum dan selaras dengan bajet yang ditetapkan.

Saya juga akan terlibat dalam menguruskan proses perolehan bekalan dan peralatan pejabat, termasuk memilih vendor, merundingkan harga, dan memastikan bekalan diterima tepat pada waktunya. 

Selain itu, saya juga bertanggungjawab mengendalikan tugas-tugas pentadbiran berkaitan sumber manusia, seperti menguruskan rekod peribadi kakitangan, memantau kehadiran dan cuti, serta menyelaraskan program latihan kakitangan.

Saya juga perlu memastikan operasi pejabat berjalan lancar dengan menyelaraskan penyelenggaraan peralatan pejabat, menguruskan inventori bekalan, dan mengekalkan persekitaran kerja yang kemas dan selamat.

Akhir sekali, saya bertanggungjawab membantu dalam perancangan dan penyelarasan majlis rasmi, seperti mesyuarat, seminar, dan acara korporat. Ini termasuk membuat persiapan logistik, menguruskan jemputan, dan memastikan majlis berjalan lancar.

Kebanyakan calon akan gagal dalam temuduga penolong pegawai tadbir ini disebabkan mereka tak tahu apakah skop tugasan mereka akan lakukan nanti.

Minat memang penting, tapi minat sahaja tidak cukup untuk mengukur kesungguhan seseorang itu. Jika skop tugas pun tak tahu, cukup membuktikan tiada kesungguhan dalam diri mereka. Minat mereka hanya dimulut, tapi tidak dihati.

Selain itu, antara soalan-soalan yang kerap ditanya semasa sesi temuduga ialah:

  • Apa yang awak faham dengan tugas jawatan penolong pegawai tadbir ni?
  • Apakah ciri-ciri yang ada pada awak sehinggakan awak rasa layak untuk jawatan ini?
  • Apakah yang awak boleh sumbangkan sekiranya dilantik?
  • Kenapa awak memohon jawatan penolong pegawai tadbir? Sedangkan kelayakan awak sesuai untuk jawatan yang lebih tinggi?
  • Awak tahu tak jawatan ini lantikan secara kontrak. Awak tak rasa rugi ke?
  • Jika awak perlu dihantar bertugas di luar negeri awak sekarang, awak sanggup tak?

Soalan Berkaitan Kementerian Dan Jabatan.

Selain daripada soalan-soalan berkaitan dengan jawatan, panel temuduga juga akan bertanyakan soalan berkaitan dengan pengetahuan kementerian dan jabatan.

Sebagai persediaan, saya syorkan anda untuk kaji dasar-dasar yang dikeluarkan oleh JPA, misi dan visi JPA.

Antara soalan yang popular ditanya berkaitan dengan topik ini ialah, “Apakah visi dan misi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia?”, tanya panel temuduga.

Visi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia adalah untuk mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat. Manakala misi JPA pula adalah untuk memacu dan meneraju pembangunan sumber manusia perkhidmatan awam. 

Saya pasti mesti ramai calon hanya menghafal sahaja visi dan misi jabatan. Tapi anda perlu berhati-hati, sebab panel akan bertanya soalan lebih mendalam berkaitan dengan visi dan misi itu.

“Jadi apa awak faham dengan visi dan misi tu?”, tanya panel temuduga.

Berdasarkan pemahaman saya, visi JPA adalah untuk mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik, dan berjiwa rakyat. Ini bermaksud JPA komited untuk membentuk satu pasukan penjawat awam yang cekap, jujur, responsif terhadap perubahan, dan sentiasa mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat dalam pelaksanaan tugas mereka.

Bagi mencapai visi ini, misi JPA adalah untuk memacu dan meneraju pembangunan sumber manusia perkhidmatan awam. Ini bermaksud JPA memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dalam perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan.

Dengan memacu dan meneraju pembangunan sumber manusia, JPA berusaha untuk melengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan, kemahiran, dan kompetensi yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang. Ini akan memastikan perkhidmatan awam mempunyai tenaga kerja yang berkebolehan tinggi dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Selain daripada bertanyakan soalan berkaitan visi dan misi, panel juga suka bertanyakan tentang sejarah bagaimana tertubuhnya JPA.

“Boleh awak ceritakan sedikit sejarah penubuhan JPA?”, tanya panel temuduga.

Sebagai calon temuduga, anda wajib tahu tentang sejarah penubuhan JPA, bermula daripada Ogos 1934 sehinggalah tertubuhnya JPA pada hari ini. 

Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA Malaysia diasaskan pada 22 Ogos 1934 melalui penubuhan Malayan Establishment Office di Singapura semasa zaman pemerintahan British. Jabatan ini kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur apabila pentadbiran berpindah ke Tanah Melayu pada tahun 1954.

Seiring dengan perkembangan fungsi dan pertambahan saiz, JPA telah beberapa kali berpindah lokasi di sekitar Kuala Lumpur sebelum akhirnya mempunyai kompleks sendiri di Jalan Tun Ismail pada tahun 1993. Cawangan di Sabah dan Sarawak juga dibuka untuk mendekatkan perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia Timur.

Pada April 2001, JPA telah berpindah ke Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Beberapa bahagian lain kemudiannya ditempatkan di lokasi sekitar Lembah Klang.

Sepanjang penubuhannya, JPA terus memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan bagi perkhidmatan awam di Malaysia.

Selain itu, antara soalan lain yang selalunya panel temuduga tanya ialah:

  • JPA di bawah kementerian apa?
  • Selain JPA, apa lagi jabatan atau agensi di bawah kementerian itu?
  • Apakah peranan JPA yang awak tahu?
  • Ada berapa bahagian dalam JPA yang awak tahu?
  • Awak tahu apa itu kod etika JPA? Apakah kepentingan kod etika ini dalam pentadbiran JPA?

Soalan Kemahiran Berfikir.

Antara topik ‘hot’ dalam temuduga penolong pegawai tadbir ialah soalan berkaitan kemahiran berfikir. Soalan ini ditanya bertujuan untuk menguji kemampuan calon mengambil keputusan, kemampuan menyelesaikan masalah, dan menguji tahap kreativiti dalam diri calon.

“Apa pendekatan awak dalam menyelesaikan konflik di tempat kerja?”, tanya panel temuduga.

Pendekatan saya dalam menyelesaikan konflik di tempat kerja bermula dengan memahami punca konflik tersebut. Saya akan mendengar perspektif semua pihak yang terlibat untuk mendapatkan gambaran sepenuhnya tentang situasi itu. 

Seterusnya, saya akan berkomunikasi dengan hormat untuk menggalakkan dialog terbuka antara pihak-pihak berkenaan. Semasa menilai konflik, saya akan kekal neutral, dengan memberi tumpuan kepada fakta berbanding emosi. 

Saya juga akan berusaha untuk mencari titik persamaan atau kepentingan bersama yang boleh menjadi asas untuk penyelesaian. Kemudian, saya akan mengemukakan penyelesaian yang praktikal dengan mengambil kira keperluan dan kekangan semua pihak. 

Setelah mencapai kata sepakat, saya akan mendapatkan persetujuan daripada semua pihak untuk melaksanakannya. 

Akhir sekali, saya akan terus memantau dan menilai keberkesanan penyelesaian tersebut, dan bersedia untuk menyesuaikan pendekatan sekiranya perlu.

Untuk makluman anda, tugas seorang penolong pegawai tadbir ini amat berisiko dengan gejala rasuah. Berdasarkan kepada pengalaman calon temuduga sebelum ini, panel bertanyakan tentang isu rasuah kepadanya.

“Apa yang awak faham dengan rasuah? Apa beza rasuah dengan hadiah”, tanya panel temuduga.

Dalam pemahaman saya, hadiah adalah segala jenis bentuk pemberian tanpa mengharapkan balasan daripada pemberi hadiah. Hadiah boleh jadi dalam bentuk wang, kenderaan, komisen, cenderamata.

Sekiranya pemberi hadiah mengharapkan balasan di atas pemberian hadiah, ketika ini segala pemberian ini dikategorikan sebagai suapan.

Panel temuduga suka bertanyakan soalan menggunakan situasi. Mereka nak tahu adakah anda betul-betul faham apa yang dinamakan dengan rasuah ataupun tidak.

“Bayangkan awak berada dalam suatu majlis, penganjur cuba memberi hadiah kepada awak di hadapan hadirin. Adakah awak akan terima hadiah tersebut? Jelaskan kenapa”, tanya panel temuduga.

Untuk pengetahuan anda, soalan berkaitan rasuah ini boleh dikategorikan soalan kemahiran berfikir. Jika anda bijak dalam menghubung kaitkan nilai integriti dan fakta, ianya mudah untuk anda jawab soalan seperti ini.

Selain itu, antara soalan lain yang selalunya panel temuduga tanya ialah:

  • Bagaimana cara awak menangani situasi di mana awak diberi arahan yang bertentangan dengan pendirian awak sendiri?
  • Bagaimana awak mengendalikan situasi tekanan yang tinggi dalam tempoh kerja yang sibuk?
  • Bagaimana awak berhadapan dengan pekerja bawahan yang tak ikut cakap awak?
  • Apakah pendapat awak tentang audit? Adakah untuk mencari kesalahan sahaja?

Anda berminat nak dapat soalan dan skrip jawapan? Sila isikan nama dan emel anda di bawah, nanti saya hantar ke emel anda.

100 Soalan TemudugaPenolong Pegawai Tadbir + Skrip Jawapan.

Sekiranya anda inginkan lagi soalan temuduga penolong pegawai tadbir berserta skrip jawapan lengkap, saya highly recommended kepada anda untuk membaca koleksi 100 soalan temuduga penolong pegawai tadbir ini.

temuduga penolong pegawai tadbir n29

Sila klik butang di bawah untuk download ebook.

Kesemua soalan yang saya kongsikan di atas ini ada di dalam ebook ini. Setiap soalan lengkap dengan skrip jawapan. 

Akhir Kalam.

Saya harap dengan perkongsian tentang soalan temuduga penolong pegawai tadbir ini dapat membantu anda dalam membuat persediaan temuduga nanti.

Saya doakan anda tenang dan yakin dalam menghadiri sesi temuduga ini nanti. Aamiinn..

Ps.. Anda ada pertanyaan tentang soalan temuduga penolong pegawai tadbir? Sila tinggalkan soalan di bawah ini. Dengan sepantas kilat saya akan menjawab pertanyaan itu.